“Kalau boleh biar abang sahaja yang bersalin. Biar abang yang tanggung kesakitan ini” kata saya sambil menatap wajah isteri. Dengan tujuan untuk menenang dan menghiburkannya.
“Ish.. Abang ni.” katanya sambil tersenyum. Nampak kepayahan pada wajahnya.
Moga “lawak cerdik” serba sedikit dapat menghiburkan hatinya.
Jam menunjukkan pukul 5 petang. Maknanya sudah kira-kira dua jam isteri saya ditahan di wad selepas membuat pemeriksaan kira-kira jam 2 petang tadi…
Sesudah menunaikan solat Asar, saya berlegar di ruang menunggu bilik bersalin. Sejujurnya, saya sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana sekiranya “lelaki” yang mengalaminya.
Lelaki mengandung dan bersalin: mustahil! Memang mustahil! Sebab itulah Allah hanya mengurniakan nikmat bersalin kepada kaum Hawa sahaja.
Saya tidak dapat bayangkan tubuh badan lelaki sekiranya mereka mengandung! Aduh, hodohnya! Mungkin inilah antara hikmahnya kenapa lelaki tidak boleh mengandung. Kalau tidak, tentu ramai lelaki berperut boroi tidak dapat dibezakan dengan “lelaki mengandung”.
Bagaimana pula dengan “mabuk mengandung”? Mampukah “lelaki mengandung” menghadapinya? Saya rasa tidak. Cuba bayangkan “lelaki mengandung” mengalami loya dan muntah-muntah… Aduh, tidak dapat bayangkan seorang lelaki yang berbadan sasa mengadu loya-loya dan muntah-muntah.
Sesungguhnya wanita begitu “gagah” untuk menghadapinya. Segagah-gagah lelaki, belum tentu mampu untuk menahan derita siang malam membawa kandungan yang berat ke mana-mana sahaja selama 9 bulan.
Bagaimanakah pula agaknya “lelaki mengandung” tadi hendak menghadapi saat-saat kelahiran? Tentu kecoh satu hospital dibuatnya! Mana tidaknya, jika terdengar suara garau menangis dan menjerit! Anak yang di dalam kandungan pun boleh terkejut tidak jadi keluar dibuatnya.
Doktor yang akan membidankan pula tentulah doktor lelaki yang gagah perkasa. Begitu juga dengan jururawat yang membantu. Lebih-lebih lagi jika “bapa mengandung” tadi berbadan sasa seperti ahli gusti. Paling tidak, doktor dan jururawat tadi mestilah seperti Hulk. Jika tidak, dikhuatiri doktor tadi tercampak ke dinding sebelum sempat menyambut kelahiran bayi.
Cuba bayangkan lelaki sesasa Arnold Susahnakeja mengandung. Siapakah doktor yang sanggup membidankannya?
Begitu besar hikmahnya Allah menjadikan setiap sesuatu! Subhanallah!
“Encik, encik boleh masuk sekarang,” sapa seorang jururawat di Gombak Medical Centre, mematikan lamunan saya.
Jam menunjukkan pukul 9 malam. “Oh, lama juga aku mengelamun”, kata saya sambil melangkah ke bilik bersalin yang menempatkan isteri saya.
Kira-kira jam 11 malam, maka lahirlah seorang lagi waris saya, sambil diiringi azan dan iqamat.
“Eh, anak kita tiada gigi”, kata saya kepada isteri saya. Dia hanya tersenyum keletihan selepas melahirkan. Sekali lagi “lawak cerdik” untuk menghilangkan keletihannya.
Segagah-gagah lelaki, belum tentu mampu menanggung sebuah kelahiran. Namun selemah-lemah dan selembut-lembut wanita, begitu tabah menanggung 9 bulan kehamilan dan menggalas sebuah kelahiran.
Anugerah Allah begitu agung, tidak terjangkau dek pemikiran manusia.
Eh… Bagaimana pula agaknya kalau “bapa berpantang”? Memakan jamu?Memakai bekung? Menyusukan anak?!!
Fikirlah sendiri!
eheeheh.. tak leh imagine kalo derang pakai jamu & berpilis! eheheh
ReplyDeletenikmat jugak rupanya bersalin nih,..oh,..i'm not married yet!haha
ReplyDelete